Thursday, June 25, 2009

Aurat ....

Kefahaman tentang AURAT dan cara memakai berpakaian atau "fashion", adalah satu perkara yang sangat subjektif. Ada berberapa cara menutup Aurat seperti yang tertera didalam AlQuran dan AlHadith, tetapi ada juga disebabkan oleh budaya sesuatu tempat. Misalnya bertudung, berselendang, berskaf dan sebagainya. selain dari itu, istilah yang selalu digunakan termasuk BURQA, CHADOR, HIJAB dan NIQAB.

Oleh kerana kejahilan, seseorang, dengan sendirinya mereka membuat andaian tersendiri. Satu ketika dulu, kejahilan saya membuat saya memberikan istilah "Darth Vader" kepada wanita yang memilih untuk memakai '
NIQAB'.

Oh jahilnya ....


Dari Berita Harian, Khamis 25 Jun 2009 :-

KENYATAAN SARKOZY HINA BURQA, MUSLIM : MCB

PARIS : Sebuah pertubuhan Islam di Britain menyelar Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, atas kenyataannya bahawa pakaian yang menutup seluruh anggota dan muka seperti burqa menjadikan wanita umpama banduan.

Sambil menyifatkan kenyataan itu sebagai "memandang rendah dan menghina penganut agama Islam", pertubuhan berkenaan bimbang kenyataan Sarkozy akan membangkitkan semula perasaan "Islamfobia" di Eropah.

Di Paris, Parlimen dengan rasminya membentuk sebuah suruhanjaya bagi mengkaji pemakaian jubah oleh warga Muslim di Perancis sehari selepas Sarkozy memberitahu ahli Parlimen bahawa negara bekenaan tidak membenarkan pakaian seumpama itu di tempat awam.

Seorang pegawai tertinggi Majlis Muslim Britain (MCB) menyifatkan Sarkozy mengamalkan 'politik memecahbelahkan masyarakat Islam', dan percaya komennya boleh membangkitkan reaksi anti-Islam di Eropah. "Adalah menghina apabila beliau menyatakan wanita Muslim memakai burqa kerana menghadapi tekanan atau paksaan teman lelaki atau penjaga mereka." kata penolong setiausaha agung MCB, Reefar Drabu.

"Kenyataan seperti itu boleh dilihat sebagai bersifat bermusuhan terhadap Islam."

Salah seorang ahli politik Muslim berprofil tinggi di Britain turut memberi pendapatnya dan menyatakan bahawa soal pakaian seseorang bukan menjadi tanggungjawab kerajaan. Menteri Masyarakat, Shahid Malik berkata " tiada undang undang yang menghalang pakaian mana yang patut dipakai dan terpulang kepada individu sendiri untuk menentukan sama ada dia pilih untuk memakai hijab atau burqa atau skirt pendek."

Di Paris, suruhanjaya 32 anggota yang ditubuhkan Parlimen, dengan wakil daripada keempat-empat parti utama Perancis akan mengadakan perbincangan yang menjurus kepada pembentukan perundangan yang melarang pemakaian burqa di tempat awam - langkah yang dilihat oleh kumpulan pemerhati hak asasi manusia sebagai tidak wajar.

"Melarang burqa tidak memberi kebebasan kepada wanita," kata Jean-Marie Fardeau, pengarah Human Rights Watch di Paris. "Ia hanya akan menyebabkan wanita yang memakainya menjadi tersisih."

Perancis mempunyai penduduk Muslim terbesar di barat Eropah, dianggarkan lima juta orang. Sekumpulan kecil wanita Perancis memakai burqa dan niqab yang menutup seluruh anggota badan atau semua sekali kecuali mata.

Suruhanjaya itu dijangka mengambil masa enam bulan untuk menyiapkan kajiannya, yang mungkin akan menjurus kepada cadangan mengadakan peraturan untuk pemakai burqa. - AP