Sunday, November 27, 2011

Awal Muharram 1433

Mengikut riwayat, orang yang mula-mula menetapkan hijrah sebagai permulaan tarikh dalam Islam ialah saidina Umar al-Khattab RA ketika beliau memegang jawatan Khalifah iaitu pada tahun 17 hijrah. Beberapa cadangan telah di kemukakan kepada beliau, ada mencadangkan tarikh kelahiran rasulullah SAW, ada pula mencadangkan kebangkitannya menjadi Rasul dan ada mencadangkan tahun kewafatan Baginda.

Tetapi semua cadangan itu tidak dipersetujui saidina Umar memandangkan hijrah adalah peristiwa terpenting antara peristiwa lain, seperti mana katanya: "Kita membuat tarikh dengan hijrah Rasulullah SAW kerana hijrahnya itu adalah perbezaan antara yang benar dengan yang batal."

Pendapat itu disokong oleh Saidina Ali RA. Sebenarnya, wujud jalinan antara perkiraan tahun masihi dan hijri (Hijrah) kepada umat Islam. Tahun Masihi dikira menurut peredaran matahari (as-Syamsi) sementara perkiraan tahun hijri pula berdasarkan peredaran bulan (tarikh al-Qamari).

Islam tidak menolak salah satu perkiraan tarikh berkenaan dalam kehidupan manusia. Perkiraan tarikh as-Syamsi adalah untuk menentukan musim atau aktiviti manusia. Daripada tarikh inilah manusia mengenal peredaran musim panas, sejuk, menyemai atau menuai.

Sementara tarikh al-Qamari pula menentukan masa ibadat. Peredaran yang tidak sama antara tarikh as-Syamsi dan al-Qamari menyebabkan umat Islam dapat merasai musim berbeza setiap kali menunaikan ibadat tersebut. Diantaranya ialah musim haji dan puasa, adakalanya dalam musim panas, tetapi beberapa tahun kemudian dalam musiam sejuk.

Selamat Tahun Baru Hijrah ... 1433